
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya turut mengadakan satu konvensyen di Balai Islam dan memperoleh input berguna bagi meneliti semula enakmen telah terbatal dan cara menjadikannya bersesuaian kerangka Perlembagaan dan undang-undang negara.
Katanya, jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal dibentuk berhubung pindaan itu kini sedang membuat persiapan sebelum pembentangan.
“Kita meletakkan satu kerangka asas kepada jawatankuasa ini bersesuaian dan bertepatan dengan kerangka Perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di Malaysia.
“Kerajaan negeri ada kaedah dan cara bagaimana mahu buat (pindaan) undang-undang syariah yang akan dibentangkan pada Julai tahun ini,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2024 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu.
“Kita tidak mahu lagi ada orang atau pihak mencabar kita kononnya atas dasar bertentangan dengan Perlembagaan atau bidang kuasa DUN Kelantan.”
Pada Mac lalu, DUN Kelantan telah meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan, pada 9 Feb 2024.
Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.