
Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata, mahkamah itu adalah institusi penting yang melambangkan identiti dan hak masyarakat pribumi Sabah, maka sebarang pindaan mesti lebih daripada kosmetik atau penyusunan struktur pentadbiran.
“Jangan perbaharui nama tapi abaikan peranan,” katanya dalam kenyataan.
Suhaimi berkata pelantikan ketua dan hakim juga perlu dilakukan secara telus tanpa campur tangan politik serta berdasarkan kelayakan serta pemahaman mendalam terhadap adat peribumi.
Tambahnya, mahkamah tersebut harus dilengkapi sumber manusia, kemudahan fizikal dan latihan secara berterusan agar benar-benar mampu berfungsi dengan berkesan.
“Tanpa peruntukan yang mencukupi, enakmen baharu ini hanya akan tinggal di atas kertas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembaharuan itu juga harus melibatkan rundingan terbuka bersama wakil masyarakat adat, ketua kampung dan pemimpin akar umbi yang memahami realiti sebenar di lapangan, berbanding hanya penelitian ‘atas pegawai-pegawai tinggi’.
“Umno Sabah akan memantau proses ini dan sedia membawa suara rakyat ke DUN agar pembaharuan yang dicanang benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat adat Sabah, bukan hanya menjadi modal politik sempena Pesta Kaamatan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dilaporkan berkata enakmen berkenaan akan diperbaharui bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri untuk memastikan institusi berkenaan kekal berkesan dan relevan.
Katanya, draf enakmen baharu telah disediakan oleh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.