Mahkamah tolak permohonan kedua Azizi henti PRK Nenggiri

Mahkamah tolak permohonan kedua Azizi henti PRK Nenggiri

Mahkamah Tinggi berkata bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim masih boleh meneruskan saman utama untuk mencabar pemecatannya dari Bersatu.

Mohd Azizi Abu Naim
Bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim mahu mahkamah mengisytiharkan notis dikeluarkan DUN Kelantan menasihatkan SPR mengenai kekosongan kerusi itu sebagai terbatal dan tidak sah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan kedua bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim bagi mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu pada 17 Ogos ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain berkata injunksi untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah umpama campur tangan dalam proses demokrasi negara.

“Injunksi ini tidak mempunyai tujuan yang berguna. Mahkamah mengambil maklum bahawa plaintif (Azizi) masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya yang sedang berlangsung, tetapi dia memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Keengganannya untuk tidak bertanding mungkin disebabkan dia sedar pengundi mungkin menghukumnya kerana mengkhianati mandat rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Azizi masih boleh mendapatkan keadilan dalam saman utama untuk mencabar pemecatannya dari Bersatu.

Mahkamah menetapkan 18 Disember untuk mendengar permohonan Azizi.

Azizi dalam permohonannya berhujah pindaan Perkara 10 perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Beliau mahu mahkamah membatalkan pindaan itu atas alasan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Azizi juga mahu mahkamah mengisytiharkan notis dikeluarkan DUN Kelantan menasihatkan SPR mengenai kekosongan itu sebagai terbatal dan tidak sah kerana beliau tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri sebelum kerusi Nenggiri dikosongkan.

Beliau menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah dan SPR sebagai defendan.

Bersatu berkata, keahlian Azizi dihentikan selepas beliau gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti itu dan sokongan berterusannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar tahun lalu.

Peguam Rajan Navaratnam mewakili Azizi, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili SPR dan peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili Amar.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi sama menolak permohonan Azizi mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu.

Roz Mawar berkata, mahkamah tidak boleh menghalang SPR mengadakan PRK kerana ia menjalankan tugas berperlembagaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.