
Bekas penasihat undang-undang 1MDB itu berkeras dia diawasi dan diancam oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.
“Saya tidak mahu membahayakan diri sendiri,” kata saksi pendakwaan itu.
Ditanya oleh peguam, Shafee Abdullah, tentang kehidupannya di luar negara sebelum ditahan polis tahun lepas, Loo berkata dia menetap di Thailand, kemudian di Kemboja pada 2018, dan berpindah ke China dan Myanmar.
Menurut Loo, Low berkata akan ada suatu ‘tindakan balas’ sekiranya di pulang ke Malaysia. Low juga mendakwa dia sedang berunding dengan kerajaan ketika itu.
“Dia minta saya jangan rosakkan rancangannya.
“Saya rasa jika saya tak ikut arahannya, mungkin akan ada akibat, dan saya ketika itu percaya dia akan ambil tindakan drastik,” kata Loo.
Loo juga berkata dia tak mahu menanggung nasib sama seperti bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Justo, yang Loo dakwa “terpaksa” buat pengakuan palsu.
Shafee: Ada kamu buat laporan polis selepas pulang?
Loo: Tidak. Saya perlukan nasihat daripada peguam saya.
Loo enggan menjawab apabil ditanya tentang statusnya sebagai saksi yang dilindungi. Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan kemudian memaklumkan mahkamah bahawa Loo tidak dibenarkan untuk mendedahkan butiran tersebut.
Dalam pada itu, Loo memberitahu mahkamah bahawa dia telah selesaikan saman oleh Jabatan Kehakiman AS terhadapnya, yang menayksikan Loo menyerahkan semua barang yang dituntut oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Shafee: Kamu ada terima hadiah mahal daripada Jho Low?
Loo: Selama bertahun-tahun, ketika saya berada di UBG Group.
Loo berkata antara barang yang diterimanya ialah jam jenama Richard Mille, dan beg jenama Hermes yang dia terima selepas meninggalkan 1MDB.
Menjelaskan percutiannya bersama Low, termasuk kunjungan ke kasino di Las Vegas, Loo berkata dia pergi sebagai seorang kawan.
Perbicaraan bersambung pada 14 Mac.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa membabitkan dana yang didakwa berkaitan dengan 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.