Malaysia dapat semula aset RM39 juta terkait Jho Low, keluarga

Malaysia dapat semula aset RM39 juta terkait Jho Low, keluarga

Pemerolehan terbaharu itu menjadikan aset terkumpul setakat ini melibatkan skandal 1MDB lebih RM31 bilion.

jho low
Peguam keluarga dan pemegang amanah ahli perniagaan dalam buruan Jho Low menandatangani satu perjanjian sulit dengan Jabatan Kehakiman AS pada Jun tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Malaysia mendapatkan semula aset USD8.57 juta (RM39.1 juta) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali Jho Low, serta ahli keluarganya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata dana itu telah dipindahkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura.

Pemerolehan semula berkenaan susulan penyelesaian pelucuthakan sivil global yang dicapai antara Low dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Jun 2024, di mana aset melebihi USD100 juta sudah diserahkan.

“Beberapa akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadual dipulangkan dalam masa terdekat,” kata SPRM dalam kenyataan.

“Pemulihan terbaharu ini, bersama dengan penyelesaian berjumlah USD330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase & Co. baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset berjaya diperoleh Malaysia daripada kes 1MDB mencecah RM31.19 bilion.”

Setakat ini, DoJ telah memperoleh lebih USD1.5 bilion dalam bentuk aset yang dikaitkan dengan Low, yang sebahagian besarnya telah dipulangkan kepada Malaysia, kata SPRM.

SPRM berkata, kerajaan kekal komited untuk mendapatkan kembali semua dana diseleweng serta memastikan mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

Low, yang dituduh di Malaysia dan Amerika Syarikat kerana didakwa menjadi dalang penyelewengan USD4.5 bilion daripada 1MDB, sebelum ini dilaporkan berada di Macau, walaupun Beijing menafikan melindunginya.

Laporan terkini mengatakan dia dilihat di Shanghai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.