Mahkamah keluar injunksi halang Telegram sebar kandungan ‘mudarat’

Mahkamah keluar injunksi halang Telegram sebar kandungan ‘mudarat’

Arahan dikeluarkan selepas platform itu digunakan untuk menyerang agensi kerajaan, penguatkuasa dan anggota pentadbiran.

Mahkamah KL
SKMM menyaman Telegram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyebarkan kandungan berbahaya yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta mengancam ketenteraman masyarakat.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi bagi menghalang aplikasi pesanan Telegram daripada menyebarkan kandungan memudaratkan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta mengancam ketenteraman masyarakat.

Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan perintah larangan itu dalam saman yang difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Telegram Messaging Inc, pemilik aplikasi berkenaan.

Perintah itu akan berkuat kuasa sehingga penyelesaian saman SKMM.

Dalam penghakimannya, Mahazan berkata SKMM berjaya membuktikan bahawa Telegram terlibat dalam penyebaran kandungan bersifat menghina yang menyasarkan agensi kerajaan, badan penguat kuasa dan anggota pentadbiran.

Bagaimanapun, beliau menolak permohonan SKMM untuk menghalang atau menutup akaun Telegram yang mungkin menyebarkan kandungan memudaratkan, dengan alasan mahkamah tidak boleh memaksa Telegram melakukan tapisan sendiri.

Mahkamah pada 24 Sept ini akan mendengar satu lagi permohonan SKMM untuk kebenaran membawa prosiding komital terhadap Telegram.

Permohonan itu dibuat atas dakwaan bahawa platform berkenaan gagal mematuhi salah satu terma injunksi ex-parte yang dikeluarkan pada 17 Julai lalu.

Peguam SN Nair dan Wong Guo Jin mewakili SKMM manakala Daniel Bock mewakili Telegram.

Pada 19 Jun, SKMM mengumumkan pihaknya menyaman Telegram serta dua salurannya – Edisi Siasat dan Edisi Khas – kerana didakwa menyebarkan kandungan memudaratkan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan mengancam ketenteraman masyarakat.

Kedua-dua saluran tanpa nama itu terkenal dengan pendedahan ala pemberi maklumat yang lazimnya menyasarkan institusi awam dan agensi penguat kuasa.

Walaupun tidak rasmi, hantaran mereka sering mendapat perhatian dan mencetuskan perdebatan awam.

Telegram berdaftar secara sah di British Virgin Islands manakala ibu pejabat operasinya terletak di Dubai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.