3 jam pujuk lelaki mengamuk guna tukul pukul ibu, ugut letup tong gas

3 jam pujuk lelaki mengamuk guna tukul pukul ibu, ugut letup tong gas

Ketika kejadian, suspek dikatakan memukul ibunya setiap kali anggota bomba cuba merapati mangsa untuk menyelamatkannya.

Anggota bomba dan polis cuba menyelamatkan mangsa yang dipukul anaknya menggunakan tukul di sebuah flat di Jalan Gangsa semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Anggota bomba mengambil tiga jam memujuk seorang lelaki yang memukul ibunya dengan tukul dan mengugut mahu meletupkan tong gas di sebuah flat di Jalan Gangsa, George Town, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shaari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.57 malam dan sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki 40-an mengunci pintu rumah dan mengikat pintu jeriji besi dengan dawai, selain memukul ibunya berusia 60-an.

“Anggota bomba cuba memujuk lelaki terbabit, namun tidak berjaya kerana dia dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Dia juga menghidupkan pembersih hampagas yang dibimbangi akan mencetuskan kebakaran,” katanya menurut Harian Metro.

Susulan itu, beliau berkata, satu aliran air bertekanan tinggi dibuka sebagai persediaan berdepan kemungkinan kebakaran.

Katanya, suspek hanya melepaskan ibunya selepas kira-kira tiga jam dipujuk, sebelum dia ditahan polis dan mangsa diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dirawat.

Ketua Polis Timur Laut, Razlam Ab Hamid mengesahkan suspek direman pagi tadi.

Difahamkan, lelaki yang tidak bekerja itu tinggal bersama ibunya dan seorang lagi ahli keluarga.

Ketika kejadian, suspek dikatakan memukul ibunya setiap kali anggota bomba cuba merapati mangsa untuk menyelamatkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.