
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata kejadian itu mengakibatkan Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, yang bertugas di balai polis Panching mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu serta jari tangan kiri.
Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang semasa sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung tindakan seorang lelaki yang mengamuk bersenjatakan parang di rumah berkenaan.
“Semasa menjalankan tugas untuk mententeramkan keadaan, Shafril telah diserang oleh suspek dengan senjata berkenaan.
“Anggota itu kemudian telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata polis telah membuat tangkapan terhadap suspek berusia 37 tahun yang tidak bekerja serta dipercayai mengalami masalah mental.
“Polis juga merampas beberapa bilah senjata tajam di lokasi kejadian dan suspek turut dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mental,” katanya.
Katanya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.