Wanita didenda RM11,800 mengamuk di restoran, guna garfu cederakan pekerja

Wanita didenda RM11,800 mengamuk di restoran, guna garfu cederakan pekerja

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh mengaku bersalah menampar, menumbuk dan menggunakan garfu untuk mencederakan dua pekerja restoran.

mahkamah sesyen majistret ipoh
Mahkamah Majistret Ipoh menjatuhkan denda RM1,800, RM6,000 dan RM4,000 bagi pertuduhan pertama hingga ketiga terhadap Nurfarahanim Soaid.
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang mengamuk di sebuah kedai makan didenda RM11,800 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan dua lelaki dan merosakkan harta benda.

Harian Metro melaporkan Nurfarahanim Soaid, 29, membuat pengakuan itu di depan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan di dua mahkamah berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku bersalah sengaja mencederakan Mohamed Hussain Mubarakali dengan menampar dan menumbuk mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia mempunyai tiga anak, menghidap gangguan bipolar sejak 2021 dan memegang kad orang kurang upaya sejak 2018.

Anis Hanini menjatuhkan denda RM1,800 atau dua bulan penjara, jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua di mahkamah berasingan, Nurfarahanim mengaku bersalah mencederakan Muniasamy Rathinavel Nadar menggunakan garpu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merosakkan harta benda dengan memecahkan tiga kaca pameran makanan restoran.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Restoran SK Naina di Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai pada 6.26 pagi 28 Jan lalu.

Timbalan Pendakwa Raya S Nishaalini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, mengambil kira tertuduh menunjukkan tingkah laku agresif di tempat awam dan menggunakan garpu yang boleh dianggap senjata berbahaya untuk mencederakan mangsa.

“Dia juga menggunakan pisau pemotong daging untuk menghempas kaca pelindung di restoran yang menunjukkan tingkah laku agresif. Pemilik restoran mengalami kerugian RM45,000, termasuk kos harta benda rosak dan kerja pembersihan,” katanya menurut Harian Metro.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Robert S Gnanarajan memohon mahkamah menjatuhkan denda minimum kerana anak guamnya sedang menerima rawatan gangguan bipolar, mengalami kesukaran mengawal tindakannya dan hanya berpendapat RM500 sebulan dengan menjual kuih.

Harith menjatuhkan denda RM6,000 bagi pertuduhan kedua dengan hukuman penjara 12 bulan jika gagal bayar denda dan RM4,000 bagi pertuduhan ketiga serta hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.