
Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Bapanya Muhammad Badrul Remli, 31, berkata sejak jantung anaknya terhenti selama 14 minit pagi semalam, mereka sekeluarga tidak berganjak dari sisi katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPUSM.
“Sehingga hari ini, Ammar masih bergantung kepada mesin sokongan hayat, namun Allah lebih menyayanginya apabila dia pergi meninggalkan kami pada petang ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anaknya sepanjang seminggu mendapatkan rawatan sejak kejadian malang itu.
Menurut Badrul, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat, Bachok dijangka malam ini.
Pada Khamis lalu, seorang lelaki disyaki memukul anak saudaranya dengan tukul sehingga parah di sebuah rumah kedai di Jelawat, ditemukan meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi, Bachok.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditemukan mati tergantung pada sebatang pokok ru kira-kira tiga kilometer dari rumah kedai berkenaan.
Berikutan itu, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ibu saudara kanak-kanak itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.