
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata suspek 39 tahun itu ditahan di rumahnya sekitar Johor Bahru pada 7.25 malam Sabtu lalu selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada 5.19 petang hari sama.
Menurutnya, mangsa berusia 12 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Mangsa mengalami kecederaan berupa koyakan kulit di bahagian kepala serta bengkak pada tangan kanan akibat serangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau jenayah, termasuk dadah dan ujian saringan air kencingnya positif syabu.
Menurutnya, suspek direman tujuh hari mulai Ahad lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup 2.19 saat menunjukkan sekumpulan kanak-kanak bermain di bawah sebuah flat, sebelum seorang kanak-kanak meraung kesakitan dengan kepalanya berlumuran darah dan melarikan diri menaiki lif.