Kes budak dipukul guna tukul, ibu saudara ditahan

Kes budak dipukul guna tukul, ibu saudara ditahan

Polis berkata suspek utama ialah bapa saudara mangsa yang melarikan diri sebelum ditemui mati di Pantai Melawi malam tadi.

handcuff
Polis menahan wanita berusia 36 tahun itu untuk membantu siasatan bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. (Gambar Freepik)
KOTA BHARU:
Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes kanak-kanak lelaki parah dipukul dengan objek dipercayai tukul di Jalan Pasar Jelawat, Bachok, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Bachok, Mohd Azrie Sulaiman, berkata wanita 36 tahun yang juga ibu saudara mangsa berusia tujuh tahun itu ditahan sejurus kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian selepas disahkan mengalami kecederaan serius di kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Hasil siasatan turut mendapati suspek utama adalah bapa saudara mangsa berusia 46 tahun yang melarikan diri menaiki motosikal, sebelum ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi, Bachok, kira-kira 8.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan lelaki itu mengalami masalah halusinasi dan memiliki rekod penyalahgunaan dadah.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sensitiviti keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.