2 pembantu taska disiasat kes dera tular di Semenyih

2 pembantu taska disiasat kes dera tular di Semenyih

Pada 8 Feb, tular satu catatan di Facebook yang memaparkan beberapa video penderaan dan pengabaian kanak-kanak autism di sebuah taska.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan pada 27 Jan daripada seorang wanita yang mendakwa terdapat kesan lebam pada dahi bayi perempuannya berusia 11 bulan, yang tidak pasti puncanya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua pembantu taska disiasat dalam kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak autism di sebuah pusat penjagaan di Semenyih, Januari lalu.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan pada 27 Jan daripada seorang wanita yang mendakwa terdapat kesan lebam pada dahi bayi perempuannya berusia 11 bulan, yang tidak pasti puncanya.

“Hasil semakan rakaman CCTV di taska mendapati mangsa telah terjatuh dari kerusi bayi,” katanya dalam kenyataan.

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Kajang, Selangor untuk pemeriksaan fizikal dan disahkan mengalami kecederaan ‘soft tissue injury over frontal’.”

Bayi itu dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Ogos tahun lalu.

Zaid berkata ibu mangsa menerima mesej dari individu tidak dikenali selepas kejadian, yang menghantar beberapa video memaparkan perbuatan disyaki penderaan dan pengabaian terhadap mangsa oleh pengasuh di taska tersebut.

Dua hari selepas laporan dibuat, polis membuat tangkapan ke atas dua wanita masing-masing berusia 22 tahun, yang juga pengasuh di taska terbabit.

“Kedua-dua suspek diberi jamin setelah keterangan diambil dan siasatan dijalankan,” katanya.

Polis sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

Pada 8 Feb, tular satu catatan di Facebook yang memaparkan beberapa video penderaan dan pengabaian kanak-kanak autism di sebuah taska, menurut polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.