Anak pegawai kanan polis maut kemalangan motosikal

Anak pegawai kanan polis maut kemalangan motosikal

Kanak-kanak berusia enam tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kemalangan itu berlaku di Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Sungai Besi menghala ke Cheras pada 8.50 pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas motosikal ditunggang bapanya melanggar belakang sebuah kereta di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Sungai Besi menghala ke Cheras pagi tadi.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia manakala bapanya yang juga pegawai kanan polis berusia 42 tahun patah kedua belah tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Sarifudin Mohd Salleh berkata ketika kejadian kereta pacuan empat roda dipandu seorang wanita dilanggar dari belakang oleh motosikal dinaiki mangsa dan bapanya.

Ketika kejadian kedua-duanya bergerak di lorong paling kiri.

“Akibat pelanggaran penunggang motosikal bersama pembonceng telah terjatuh atas jalan di lorong sama dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Pemandu kereta berusia 45 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sarifudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.