Raih pulangan RM4,000, pesara hilang RM1.4 juta

Raih pulangan RM4,000, pesara hilang RM1.4 juta

Mangsa percaya kepada skim itu selepas dapat pulangan RM4,000 hasil melabur RM20,000.

Polis berkata mangsa mendakwa membuat 19 kali transaksi pemindahan wang ke lapan akaun diberikan suspek yang keseluruhannya berjumlah RM1.4 juta.
PETALING JAYA:
Pesara kerugian RM1.4 juta selepas tertarik diberikan pulangan RM4,000 dalam skim pelaburan saham dipromosikan di Facebook.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 70 tahun mendapat nilai pulangan itu selepas membuat pelaburan RM20,000, justeru menjadikannya semakin yakin menambah pelaburan.

“Mangsa semakin tertarik kerana turut diberikan kelas pelaburan selama lapan bulan secara dalam talian sebelum membuat pelaburan pertama bernilai RM20,000.

“Pelaburan itu, menurut mangsa membawa pulangan sebanyak RM4,000 menyebabkan dia berani mengeluarkan wang simpanan untuk menambah modal,” katanya menurut Bernama.

Yahaya berkata, mangsa mendakwa membuat 19 kali transaksi pemindahan wang ke lapan akaun diberikan suspek bagi tujuan itu, yang secara keseluruhannya melibatkan bayaran RM1.4 juta.

Mangsa membuat laporan di balai polis di Raub, semalam, selepas gagal menghubungi suspek bagi mengeluarkan “keuntungan” dijanjikan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang awam berwaspada dan membuat semakan sebelum menyertai pelaburan dalam talian, khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat transaksi bagi mengurangkan risiko diperdaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.