Dakwaan salah guna kuasa beli pukat, pengurus besar direman

Dakwaan salah guna kuasa beli pukat, pengurus besar direman

Pengurus besar lembaga pertubuhan di Terengganu didakwa menyalahgunakan kuasa meluluskan tuntutan bayaran pembelian pukat dan racun serangga.

Suspek berusia 50-an direman SPRM hingga Isnin selepas ditahan di pejabatnya di Terengganu semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengurus besar lembaga pertubuhan di Terengganu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menggunakan jawatannya bagi meluluskan pembelian pukat dan racun serangga lebih RM6,000 di mana beliau mempunyai kepentingan dalam urusan itu.

Suspek berusia 50-an direman tujuh hari hingga 22 Jan selepas Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis Roslan membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki menggunakan isterinya dengan mengemukakan invois syarikat yang palsu dan melakukan perbuatan itu sejak 2018.

“Suspek sebelum ini ditahan di pejabatnya di sekitar Dungun, kira-kira 12.05 tengah hari semalam. Siasatan juga akan mengenal pasti berapa banyak jumlah perolehan telah diluluskan suspek sejak 2018,” katanya.

Sumber berkata, dipercayai terdapat banyak kes melibatkan pegawai di lembaga pertubuhan di negara ini yang menyalahgunakan jawatan atau kedudukan dengan meluluskan perolehan atau pembelian bagi kepentingan sendiri.

Katanya, pewartaan lembaga pertubuhan sebagai badan awam sejak Mei 2023 bawah tafsiran Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694) membolehkan mereka didakwa kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Katanya, individu didapati menyalahgunakan jawatan atau kedudukan bagi tujuan suapan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bawah seksyen itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.