Kerja baiki paip bocor dasar Sungai Besut siap 30%

Kerja baiki paip bocor dasar Sungai Besut siap 30%

Menteri besar Terengganu menjangkakan kerja pembaikan itu dapat disiapkan mengikut jadual dalam tempoh seminggu hingga 10 hari.

Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah, berseluar putih) meninjau lokasi paip pecah dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerja pembaikan paip bocor di dasar Sungai Besut dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut yang dimulakan Khamis lalu kini mencapai kira-kira 30%.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menjangkakan kerja pembaikan itu dapat disiapkan mengikut jadual dalam tempoh seminggu hingga 10 hari.

“Insya-Allah, penyambungan dapat disiapkan dan kembali seperti biasa kepada pengguna yang terbabit di daerah ini (Besut).

“Kita (memberi) jaminan (kerana) setakat ini semua mengikut perancangan,” katanya menurut Berita Harian ketika meninjau lokasi paip pecah di Jambatan Kampung Lampu hari ini.

Mengenai kebimbangan penduduk kerja pembaikan itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual seperti di Kuala Terengganu, Samsuri berkata, penduduk terjejas tidak perlu bimbang kerana kerja pembaikan berjalan seperti dijadualkan.

“Di Kuala Terengganu agak kompleks sikit sebab kita cuba selesaikan secara terus di bawah air, tapi di sini kita buat cara agak berbeza sikit dan ia lebih cepat. Insya-Allah.”

Sebelum ini, penduduk di 11 kampung sekitar Besut dilaporkan mengalami gangguan bekalan air membabitkan 2,670 isi rumah selama 21 hari bermula 1 Jan lalu susulan kebocoran paip bersaiz 600mm di dasar Sungai Besut dekat Jambatan Kampung Lampu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.