Rom dikritik sedia alternatif murah ganti Air Pancut Trevi

Rom dikritik sedia alternatif murah ganti Air Pancut Trevi

Pihak berkuasa menyediakan kolam segi empat tepat sementara bagi membolehkan berjuta-juta pelancong meneruskan tradisi melempar syiling sepanjang tempoh Air Pancut Trevi ditutup.

Tradisi melempar syiling ke dalam Air Pancut Trevi di Rom terpaksa dihentikan sementara susulan kerja pembaikan mercu tanda abad ke-18 itu. (Gambar Wikipedia)
ROM:
Tradisi melempar syiling dengan tangan kanan melepasi bahu kiri sambil membelakangi Air Pancut Trevi di Rom terpaksa dihentikan sementara kerana bandar raya itu sedang menjalankan kerja pembaikan ke atas mercu tanda abad ke-18 itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa bandar raya itu menyediakan penyelesaian berbentuk kolam segi empat tepat sementara bagi membolehkan berjuta-juta pelancong meneruskan tradisi melempar syiling sepanjang tempoh air pancut itu ditutup.

Hanya beberapa jam selepas kolam itu dibuka, sekumpulan pelancong dilihat berkumpul di depannya dan syiling pertama mula dilemparkan. Menurut kepercayaan tahayul, sesiapa yang melemparkan syiling akan kembali ke Rom pada masa depan.

Kritikan mula muncul di media sosial. “Bayangkan anda menghabiskan beberapa jam dalam pesawat ke Rom untuk melihat Air Pancut Trevi, kemudian mendapati diri di sebalik pagar di depan kolam kanak-kanak,” tulis seorang pengguna secara berseloroh.

Seorang lagi pengguna platform X menulis: “Apa yang mengarut ini? Ia kelihatan seperti sebuah kolam dipam angin.”

Kerja pembaikan Air Pancut Trevi bermula sebulan lepas, apabila bahagian bawahnya ditutup pagar dan pita keselamatan. Mercu tanda itu akan dibersihkan menjelang Jubli 2025 apabila Pintu Suci di Basilika St Peter dan gereja lain dibuka.

Akses ke kawasan sekitar air pancut itu akan dihadkan tahun depan untuk mengawal jumlah pengunjung. Kawasan sekitar air pancut itu sentiasa sesak. Terdapat juga rancangan mengehadkan pengunjung pada masa depan dengan menjual tiket pada harga tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.