
Pengerusinya Charles Santiago berkata syarikat utiliti itu tidak mempunyai kaitan dan gangguan bekalan air terbabit hanya berpunca daripada kilang menyebabkan pencemaran di dua sungai.
“Sebenarnya isu ini tidak berkait dengan Air Selangor.
“Air Selangor sebenarnya menerima masalah itu (dan) bukan dia mengakibatkannya, sebaliknya oleh kilang-kilang (terlibat),” katanya mengumumkan Pelaporan Hasil Siasatan Jawatankuasa Khas (JKK) SPAN berkait gangguan bekalan air di Selangor.
Pada 23 Julai lalu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyeru tindakan tegas terhadap Air Selangor berikutan gangguan air tidak berjadual di Kuala Lumpur dan Selangor, seharui sebelum itu,
Pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah menyebabkan henti tugas sementara empat buah loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3).
Media sebelum ini melaporkan pencemaran air mentah itu adalah disebabkan oleh kebocoran bahan kimia dikenali ‘Poly (methacrylic acid)’ (PMAA) di Sungai Kuang.
Santiago berkata SPAN mengesyorkan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas melibatkan pemeriksaan di premis secara fizikal hendaklah dilakukan bagi setiap permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan.
Jelasnya, pemeriksaan bersasar Jabatan Alam Sekitar berhubung kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) serta kawalan pelepasan sisa ke sungai juga perlu diperketat.
“SPAN juga memohon kerajaan negeri melaksanakan pemeriksaan ke atas setiap kilang atau premis perniagaan berasaskan kitar semula sisa plastik khususnya di kawasan berisiko,” katanya.