
Dalam satu kenyataan, Air Selangor memaklumkan ia berikutan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Hub Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Katanya, kerja pembaikan itu dijangka siap pada 1 pagi esok, sementara bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 1 tengah hari esok.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ialah Apartmen Putra Ria, Brickfields, Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Bukit Damansara, Bukit Persekutuan, Bukit Tunku, Damansara Heights, Damansara Down Centre.
Kawasan lain ialah Idamansara, Jalan Sultan Hishamuddin, Kampung Attap, Kampung Padang Merbuk (Jalan Sultan Ismail), Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur Central, Medan Damansara.
Gangguan juga berlaku di Parlimen, Persiaran Sultan Salahudin, Semantan, Taman Bandaraya, Taman Bangsar Baru, Taman Damansara Endah, Taman Duta, Taman Lucky, Taman SA (Bangsar), Taman SA (Damansara), Taman Tasik Perdana, Taman Tunku dan Tijani.
Air Selangor berkata ia akan menggerakkan lori tangki air dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya.