Pembaikan paip bocor di lubang benam siap, Jalan Burma dibuka semula

Pembaikan paip bocor di lubang benam siap, Jalan Burma dibuka semula

Lubang benam terbentuk di Jalan Burma dan persimpangan Jalan Transfer Ahad lalu susulan kebocoran paip pembetungan.

Jalan Burma dibuka sepenuhnya hari ini selepas kerja pembaikan paip pembetungan bocor di lubang benam siap 4 pagi tadi. (Gambar MBPP)
PETALING JAYA:
Jalan Burma di George Town dibuka sepenuhnya kepada kenderaan hari ini selepas kerja pembaikan paip pembetungan bocor sehingga menyebabkan lubang benam siap.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A Rajendran mengucapkan terima kasih kepada Indah Water Konsortium (IWK) kerana menyiapkan kerja pembaikan sehari lebih awal daripada jangkaan.

“Jalan Burma kini dibuka sepenuhnya dan selamat untuk digunakan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan lubang benam terbentuk di Jalan Burma dan persimpangan Jalan Transfer kira-kira 9 pagi Ahad lalu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir 3km susulan penutupan jalan dan lencongan.

Isnin lalu, Rajendran dilaporkan berkata, kerja pembaikan itu dijangka mengambil masa lima hari untuk disiapkan dengan hanya satu lorong dibuka antara malam dan awal pagi.

IWK kemudian memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aset kumbahan di seluruh Pulau Pinang dengan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.