Kejadian lubang benam boleh dielak dengan teknologi moden, kata pakar

Kejadian lubang benam boleh dielak dengan teknologi moden, kata pakar

Pakar sisa air berkata pemeriksaan berkala menggunakan kamera robotik boleh mengesan kelemahan pada paip pembetung sebelum ia runtuh.

jalan rosak sinkhole
Sebahagian laluan utama Jalan Burma di George Town ditutup kepada lalu lintas selepas sebahagian jalan itu runtuh akibat paip pembentung pecah. (Gambar H’ng Mooi Lye)
GEORGE TOWN:
Kejadian pembentukan lubang benam di Jalan Burma pagi ini akibat paip pembetung pecah boleh dielakkan sekiranya teknologi paip moden digunakan, kata pakar sisa air.

G Parameswaran berkata pemeriksaan berkala menggunakan kamera robotik boleh mengesan kelemahan pada paip pembetung sebelum ia runtuh.

“Insiden seperti ini boleh dielakkan. Dengan kamera robotik, kita boleh kesan retakan atau ketidaksejajaran lebih awal dan bertindak sebelum jalan runtuh,” katanya kepada FMT.

Sebahagian laluan utama Jalan Burma itu ditutup selepas berlaku mendapan berhampiran persimpangan Jalan Transfer. Satu lorong masih dibuka, manakala pengguna jalan raya dinasihatkan mengelak kawasan Komtar sementara kerja-kerja baik pulih dijalankan.

Syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) berkata paip pembetung di bawah jalan berkenaan runtuh akibat sambungan yang tercabut. Kerja baik pulih dijangka mengambil masa lima hari.

Parameswaran berkata kerja pembaikan juga boleh dilakukan tanpa menggali jalan dengan kaedah khas menggunakan pelapik khas yang dimasukkan ke dalam paip sedia ada. Pelapik itu akan mengembang dan mengeras, membentuk paip baharu di dalam paip lama.

Katanya, kaedah itu mampu menghasilkan paip tanpa sambungan dan risiko tercabut. Beliau berkata IWK mempunyai kepakaran teknikal untuk melakukan kerja lapisan semula paip dan seharusnya mampu menyelesaikan isu itu dengan cepat.

“Mereka mempunyai peralatan untuk kerja-kerja pembaikan ini. Dengan lapisan dan tampalan sambungan yang betul, paip boleh dipulihkan tanpa perlu diganti sepenuhnya,” katanya.

Parameswaran, yang juga presiden Persatuan Kualiti dan Keselamatan Air dan Air Sisa Malaysia, berkata paip pembetung graviti, khususnya yang lama, terdedah kepada masalah di bahagian sambungan.

Katanya, pergerakan tanah atau beban berat boleh menyebabkan sambungan itu beralih dari semasa ke semasa sehingga berlaku kebocoran dan mendapan.

“Kita tidak boleh hanya fikir soal penyelenggaraan pembetung apabila jalan sudah runtuh. Sistem tersembunyi ini menyokong keseluruhan bandar.

“Sedikit perancangan awal dan pelaburan boleh menyelamatkan nyawa, wang, dan mengurangkan gangguan kepada orang awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.