
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Setakat ini empat laporan polis diterima berhubung dakwaan berkenaan.
“Kes masih di peringkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, polis mengingatkan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak-pihak yang cuba memanipulasi isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara.
Sebelum ini, satu laporan polis dibuat oleh setiausaha sulit kepada ketua pembangkang bagi membersihkan nama Hamzah Zainudin yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit.
Dalam laporan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis hari ini merakam keterangan empat individu berkaitan ‘gerakan Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan kerajaan.
Mereka adalah Badrul Hisham Shaharin, Wan Muhammad Azri, dan Salim Iskandar, serta Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop.
Shuhaily memberitahu Utusan Malaysia mereka dipanggil bagi membantu siasatan.