
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, siasatan setakat ini mendapati kejadian itu berkemungkinan bersifat terpencil dan tidak berkait dengan mana-mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
“Kes ini berkemungkinan kejadian terpencil, namun siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, lapor Bernama.
Beliau mengesahkan bahan yang dirampas mengandungi unsur letupan, dengan siasatan kini tertumpu kepada tujuan ia disimpan, sasaran yang mungkin terlibat serta kemungkinan pihak lain terbabit.
Kumar berkata, suspek masih ditahan di hospital dan polis sedang menunggu laporan perubatan bagi menentukan keupayaannya memberi keterangan.
“Latar belakang suspek masih dalam siasatan, namun usaha merakam percakapan belum dapat dilakukan kerana lelaki itu masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan dialami,” katanya menambah, suspek direman hingga 3 Jan bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian pada awal pagi 22 Dis lepas, IED meletup di dalam sebuah kenderaan ketika suspek dipercayai cuba mengalihkan peranti tersebut sebelum melarikan diri.
Suspek berusia 62 tahun itu kemudian ditahan di Batang Benar, Nilai, dalam keadaan lemah dan cedera melecur selepas dipercayai bersembunyi di kawasan hutan sejak kejadian.
Dia ditahan bersama sebuah motosikal serta beberapa IED sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, polis telah merakam keterangan 18 saksi, termasuk orang awam dan pasukan perubatan, untuk membantu siasatan.
“Kita tidak menolak kemungkinan akan ada saksi lain dipanggil untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan ini,” katanya menambah, motif kejadian belum dipastikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.