RM2.6 bilion kontrak ECRL diberi kepada syarikat Bumiputera, kata MRL

RM2.6 bilion kontrak ECRL diberi kepada syarikat Bumiputera, kata MRL

Ia melibatkan RM1.69 bilion kepada syarikat kontraktor, RM0.28 bilion kepada syarikat perunding, dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjelaskan penglibatan Bumiputera dalam projek ECRL sentiasa menjadi keutamaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak RM2.6 bilion nilai kontrak telah diberikan kepada kontraktor, perunding, dan pembekal Bumiputera bagi projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) setakat 30 Nov 2023.

Penjelasan itu dibuat Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) susulan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mempersoal data berkaitan pembabitan kontraktor Bumiputera dalam projek ECRL, sambil mendakwa kumpulan itu terpinggir dan sukar mendapat projek kerana kekangan syarat begitu ketat dan harga tawaran rendah.

“Kami ingin memperjelaskan bahawa nilai kontrak yang telah dianugerahkan kepada pihak kontraktor, perunding, dan pembekal Bumiputera setakat 30 Nov 2023 adalah sebanyak RM2.66 bilion atau 76.07% dari sasaran RM3.50 bilion.

“Dari jumlah nilai RM2.66 bilion tersebut, sebanyak RM1.69 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor Bumiputera, RM0.28 bilion kepada syarikat perunding Bumiputera, dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.

Daripada RM1.69 bilion yang telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor Bumiputera tersebut ia melibatkan 172 pakej kontrak di Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor antaranya melibatkan kerja tanah, jambatan, dan pembinaan stesen.

Sejak 2017, pihak MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor bagi mempertingkatkan lagi penglibatan kontraktor Bumiputera dalam Projek ECRL.

“Pihak kami ingin menekankan bahawa usaha untuk memperkasa penglibatan Bumiputera di dalam projek ECRL sentiasa menjadi keutamaan sungguhpun perkara ini tidak termaktub di dalam perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) yang hanya mensyaratkan penglibatan syarikat tempatan sahaja.

“Terkini, inisiatif tambahan yang sedang diambil oleh pihak CCCC adalah kerjasama dengan pihak kerajaan negeri-negeri yang terlibat bagi penglibatan kontraktor Bumiputera kategori G1 dan G2 bagi skop kerja yang bersesuaian,” katanya.

Setakat 30 Nov 2023 juga sebanyak 40% kerja dalam projek ECRL telah diserahkan kepada syarikat tempatan dengan dengan nilai kontrak RM13.64 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu, ia merangkumi RM1.20 bilion bagi kerja-kerja kontrak projek ECRL di Kelantan, RM6.18 bilion di Terengganu, RM5.62 bilion di Pahang, dan RM0.64 bilion di Selangor yang melibatkan sejumlah 2,801 syarikat tempatan secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.