Siapa nak makan beras hancur, soal ketua kluster Naccol

Siapa nak makan beras hancur, soal ketua kluster Naccol

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tepis kenyataan timbalan menteri berlaku lambakan beras tempatan RM26 di pasaran kerana tiada pembeli.

beras
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kualiti beras putih tempatan yang dijual di pasaran sangat rendah. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang wakil rakyat pembangkang mendakwa beras putih tempatan pek 10kg yang dijual pada harga RM26 tidak berkualiti kerana mengandungi sehingga 40% beras hancur menyebabkan pengguna tidak berminat membelinya.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Pembangkang-Bukit Gantang) berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sambil menepis kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, yang memaklumkan berlaku lambakan beras tempatan di pasaran kerana tiada pembeli.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

“Sekarang bukan hanya isu manipulasi beras tempatan, tetapi kualiti beras yang dijual pada harga RM26 itu sangat rendah. Sebab itu tiada pembeli.

“Sebenarnya, bukan kerana tiada pembeli tetapi beras itu dibungkus dengan kualiti sangat rendah, mengandungi sehingga 40% beras hancur. Siapa yang mahu makan beras hancur? Standard biasa hanya sekitar 15 hingga 17% sahaja,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Fuziah dilaporkan berkata lambakan beras putih tempatan berpotensi menjejaskan jualannya di pasaran, selain menyebabkan permintaan menurun di kebanyakan kawasan termasuk pasar raya dan program Jualan Rahmah Madani.

Dalam ucapannya, Syed Hussin turut mempersoalkan tindakan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang didakwa gagal menurunkan harga beras import walaupun harga pasaran global kini turun.

“Beras import hanya dikuasai Bernas. Sekarang harga dunia sudah turun kepada RM1,494 satu tan metrik, ini harga semalam. Tetapi mengapa ia masih dijual pada harga tinggi?

“Apakah kerajaan tidak mengawal Bernas yang seolah-olah bebas menetapkan harga sesuka hati tanpa memikirkan beban rakyat?” soalnya yang juga ketua kluster makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (Naccol).

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kedudukan harga beras selepas peruntukan subsidi RM150 juta diberikan kerajaan bakal berakhir 31 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.