Warisan masih parti tempatan Sabah, tegas Shafie

Warisan masih parti tempatan Sabah, tegas Shafie

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu konsisten dengan perjuangannya untuk Sabah di sebalik lebar sayap ke Semenanjung empat tahun lalu.

Mohd Shafie Apdal
Shafie Apdal tepis dakwaan Adun Kunak Norazlinah Arif yang Warisan bukan lagi parti tempatan Sabah.
KUALA LUMPUR:
Presiden Warisan Shafie Apdal menafikan dakwaan ia bukan lagi parti tempatan susulan tindakannya melebarkan sayap ke Semenanjung hampir empat tahun lalu.

Shafie menegaskan, parti itu tetap konsisten dengan perjuangan untuk Sabah dan sedia menawarkan visi serta misi khas kepada rakyat negeri itu pada PRN tidak lama lagi.

“Warisan parti tempatan,” katanya dalam temu bual FMT, mengulas kenyataan Norazlinah Arif, bekas ketua Wanita parti itu berhubung isu berkenaan.

Semalam, FMT melaporkan Adun Kunak itu mendakwa Warisan yang ditubuhkan pada 2016 tidak lagi boleh mendakwanya parti tempatan Sabah selepas melebarkan sayap ke Malaysia Barat, lima tahun kemudian.

Beliau turut mendakwa langkah itu strategi mengangkat Shafie sebagai perdana menteri.

Setahun selepas kalah PRN Sabah, Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung secara rasmi pada 17 Dis 2021 dengan Shafie berjanji ‘menjadi perdana menteri untuk semua’ jika menang PRU15.

Parti itu bertanding enam kerusi pada PRN Johor yang berlangsung Mac 2022 manakala mempertaruhkan 24 calon Parlimen dan 16 DUN di negeri lain di Semenanjung pada PRU15.

Namun, semuanya kalah termasuk bekas menteri pengangkutan Ong Tee Keat yang juga bekas presiden MCA di Pandan.

Bagaimanapun, Shafie dalam temu bual turut menjelaskan tindakan partinya pada waktu itu bertujuan memberi ‘keinsafan dan kesedaran’ kepada rakyat Malaysia di Sabah.

Mengakui sukar untuk menang, Shafie berkata ramai mendakwa Warisan hanya mengacau apabila bertanding di Semenanjung tetapi parti nasional pula boleh bertapak di Sabah.

“Macam mana kita hendak membentuk semak dan imbang…rakyat Malaysia di Sabah pada waktu itu boleh menerima parti seperti Barisan Nasional (BN) termasuk saya sendiri (bekas naib presiden Umno).

“Ia bukan bererti kita bukan parti lokal…tiada erti berlandaskan hanya pada nama parti lokal tetapi suara tidak lokal,” katanya.

Tetap tanding solo

Sementara itu, Shafie berkata Warisan akan tetap bertanding solo di 73 kerusi pada PRN dan menafikan ura-ura partinya akan bekerjasama dengan BN.

“Kadangkala timbul gambar saya dengan Zahid Hamidi (pengerusi BN), Bung Moktar Radin (ketua BN Sabah) dan Muhyiddin Yassin (pengerusi Perikatan Nasional).

“Kenapa tengok gambar (jadi punca tercetus spekulasi kerjasama PRN), dengarlah pengumuman yang saya telah buat (tanding 73 DUN),” katanya.

Menurut Shafie, objektif mereka bertanding solo memberi isyarat kesediaannya membentuk kerajaan secara tunggal tanpa bergabung dengan mana-mana parti seperti pentadbiran Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kalau Berjaya dan PBS boleh mengapa Warisan tidak boleh?” soalnya merujuk pentadbiran Harris Salleh dan Joseph Pairin Kitingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.