Kamu bekas NC seharusnya faham, KPT bidas Adun PAS

Kamu bekas NC seharusnya faham, KPT bidas Adun PAS

Kementerian Pendidikan Tinggi nafi utamakan pengambilan pelajar antarabangsa ke universiti penyelidikan seperti didakwa Adun Jitra Haim Hilman Abdullah.

universiti student
KPT berkata Haim Hilman Abdullah seharusnya faham mengenai pengoperasian universiti dan jumlah peratusan pelajar tempatan serta antarabangsa memandangkan beliau bekas naib canselor UUM.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan Adun PAS Haim Hilman Abdullah yang pihaknya lebih mengutamakan pengambilan pelajar antarabangsa berbanding tempatan dalam kemasukan ke universiti penyelidikan (RU).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman, menegaskan pihaknya tidak pernah menganaktirikan pelajar tempatan, sebaliknya mereka sentiasa diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan.

“Adun (tersebut) telah beberapa kali memberi informasi yang mengelirukan masyarakat berhubung dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan ini sekali gus mengelirukan rakyat.

“Sebenarnya, kita sangat menjaga kepentingan anak-anak tempatan dan tidak pernah sekali pun terlintas untuk menganaktirikan mereka,” katanya dalam sidang media khas di KPT.

Haim yang juga Adun Jitra sebelum ini mendakwa KPT gagal mendahulukan kepentingan pelajar tempatan, khususnya dalam isu peluang pendidikan tinggi dan pekerjaan untuk graduan muda, sehingga menyebabkan berlaku tragedi bangsa.

Berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-71 baru-baru ini, bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mendakwa lima universiti penyelidikan menawarkan 180,000 tempat namun 21% daripadanya diisi pelajar asing.

Mengulas lanjut, Azlinda berkata bagi program prasiswazah merangkumi sijil, diploma, dan ijazah sarjana muda, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa terhad dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.

Beliau berkata, untuk rekod di lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), jumlah pelajar tempatan peringkat prasiswazah adalah 91.6%, manakala pelajar antarabangsa hanya 8.4%.

“Fokus utama adalah kepada program ijazah sarjana muda dengan subsidi disediakan kepada anak tempatan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Azlinda berkata hingga 31 Dis 2024, jumlah keseluruhan pelajar di lima RU adalah 180,024 orang dengan perincian seramai 141,636 (78.7%) tempatan, manakala 38,388 (21.3%) lagi adalah pelajar asing bagi kedua-dua peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Katanya, bagi peringkat pascasiswazah ia bersifat terbuka, tiada had kemasukan pelajar antarabangsa kerana setiap universiti awam menerusi dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi giat mempromosikan kualiti dan kesohoran universiti masing-masing.

“Sebenarnya, data kedua-dua peringkat pengajian ini tidak boleh digabungkan kerana kedua-dua peringkat pengajian ini mempunyai dasar berbeza,” katanya.

Menurutnya, Haim seharusnya faham mengenai pengoperasian universiti dan jumlah peratusan pelajar tempatan serta antarabangsa memandangkan beliau bekas naib canselor UUM.

Azlinda berkata, KPT sentiasa cakna dalam menyediakan tempat kepada calon tempatan dan tiada sebarang diskriminasi untuk mereka mengikuti pengajian di universiti awam.

“Adun itu sendiri dalam satu kenyataan pada 11 Okt 2022 ketika masih naib canselor memaklumkan universiti kendaliannya mencatatkan peningkatan kemasukan penuntut antarabangsa sebanyak 13.97% bagi sesi 2022/2023.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan beliau sendiri ketika menjadi naib canselor bersetuju dan mengaplikasikan dasar pengambilan pelajar antarabangsa di universiti berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.