Kerajaan mahu TVET lahir pekerja mahir tempatan, penuhi keperluan industri

Kerajaan mahu TVET lahir pekerja mahir tempatan, penuhi keperluan industri

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan juga mahu graduan TVET menjadi pekerja ditawarkan dengan gaji premium dan tinggi.

Seramai 436,000 pelajar kini sedang mengikuti kursus di institusi TVET berbanding 407,000 tahun sebelumnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mahu pelajar dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang dilatih di negara ini memenuhi keperluan industri sekali gus menggalakkan industri menggunakan tenaga tempatan berkemahiran.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata kerajaan juga mahu graduan TVET menjadi pekerja yang ditawarkan dengan gaji premium dan tinggi.

“Pada masa sama, kita mahu pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia tidak perlu membawa pekerja daripada negara asal mereka atau dari negara lain bagi menjadi tenaga berkemahiran di sini,” katanya yang juga pengerusi Majlis TVET Negara.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata demikian selepas mempengerusikan sesi perbincangan meja bulat bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Pada majlis berkenaan, beliau berkata lima keputusan ditetapkan antaranya meminta GLC dan GLIC menyatakan bidang kemahiran yang diperlukan mengikut guna tenaga atau tenaga pekerjaan bagi menyesuaikan kursus dan kurikulum dibuat oleh institusi TVET di negara ini.

Keduanya iaitu memutuskan kursus diadakan mesti dirunding terlebih dahulu supaya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dapat melakukan pengiktirafan terhadap kursus dijalankan.

“Ketiganya, kita juga memutuskan supaya tindakan susulan dilakukan termasuk mengemukakan program TVET khas dalam kalangan banduan dan juga penagih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) supaya mereka juga menjadi tenaga yang berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata seramai 436,000 pelajar kini sedang mengikuti kursus di institusi TVET berbanding 407,000 pada tahun sebelumnya.

Katanya, ini tidak termasuk pengambilan yang sedang dijalankan pada masa ini iaitu kira-kira 229,000 permohonan diterima daripada 76,000 pemohon di 1,398 institusi TVET.

Keseluruhan perbelanjaan bagi TVET di 12 kementerian sebanyak RM8.7 bilion dan beliau berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan meningkatkan belanjawan bagi TVET pada tahun hadapan.

Sesi perbincangan meja bulat itu dianjurkan susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Julai lalu yang setuju supaya GLC dan GLIC memainkan peranan lebih aktif dalam memberi peluang latihan kepada pelajar TVET.

Langkah ini penting bagi membolehkan TVET di Malaysia beralih daripada model yang dipacu oleh kerajaan kepada model yang dipacu oleh industri.

Sesi tersebut bertujuan menyelaraskan penglibatan GLC dan GLIC dalam memperkasa TVET dengan memberi tumpuan kepada empat dimensi utama.

Ini termasuk pelaburan langsung dalam pembangunan TVET; penglibatan strategik dalam reka bentuk kurikulum; penyediaan peluang latihan industri, biasiswa dan penempatan kerja serta penerajui inisiatif kerjasama berimpak tinggi.

Sebanyak 14 GLC, satu GLIC serta lima agensi kerajaan selain lapan institusi TVET hadir pada sesi berkenaan termasuk Petroliam Nasional Bhd, Prasarana Malaysia Bhd, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan Malaysia Aviation Group manakala Khazanah Nasional Bhd mewakili GLIC.

Turut serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta agensinya seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta institusi TVET seperti politeknik, kolej vokasional, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), GiatMara dan Universiti DRB-HICOM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.