
Peguam Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.
“Suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak yang kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie maut selepas dipercayai diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta yang melanggarnya.
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.
Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.