Pemandu kereta ditahan langgar, ugut penunggang motosikal

Pemandu kereta ditahan langgar, ugut penunggang motosikal

Polis menahan lelaki 29 tahun yang tidak bekerja itu di kawasan Tasek Gelugor kira-kira 2 petang tadi, hasil risikan dan maklumat awam.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan seorang penunggang motosikal diugut dan dilanggar pemandu Proton Wira hingga cedera di kaki kanan dan motosikalnya rosak.
KEPALA BATAS:
Polis menahan seorang pemandu kereta yang dipercayai melanggar dan mengugut penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Tasek Gelugor, di sini, semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Mohd Asri Shafie berkata, lelaki berusia 29 tahun yang tidak bekerja itu ditahan di kawasan Tasek Gelugor kira-kira 2 petang tadi, hasil risikan dan maklumat awam.

“Dia akan direman untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya di sini.

Terdahulu, Asri berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada mangsa menegur seorang lelaki yang memandu kereta kerana suspek memotong kenderaan tanpa memberi isyarat lampu sisi dan tindakan tersebut berbahaya.

“Pemandu kereta itu yang tidak berpuas hati bertindak melanggar motosikal dan penunggang itu dengan keretanya, ekoran kejadian tersebut mangsa (penunggang motosikal) membuat laporan polis.”

Terdahulu, tular di media sosial video 27 saat memaparkan seorang penunggang motosikal diugut dan dilanggar pemandu Proton Wira hingga cedera di kaki kanan dan motosikalnya rosak.

Pemandu itu dilihat keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebatang besi, namun sebaik mangsa memberitahu dia merakam video, suspek terus masuk ke kereta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.