32,462 kes penipuan dalam talian babit RM1.3 bilion tahun ini

32,462 kes penipuan dalam talian babit RM1.3 bilion tahun ini

Polis berkata, jenayah e-dagang mencatatkan kes tertinggi sebanyak 10,993 kes.

Polis berkata, kes pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian terbesar berjumlah RM421 juta, diikuti jenayah e-dagang (RM382 juta) dan jenayah telekomunikasi (RM327.9 juta).
KUALA LUMPUR:
Polis menerima 32,462 kes penipuan dalam talian sepanjang 11 bulan tahun ini dengan nilai kerugian RM1.3 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jenayah e-dagang mencatatkan kes tertinggi sebanyak 10,993 kes, diikuti jenayah telekomunikasi (9,526), pelaburan tidak wujud (5,036), pinjaman tidak wujud (4,018), jenayah e-kewangan (2,006) dan “love scam” (883).

Beliau berkata, jumlah kes meningkat sebanyak 37.5% dari Januari hingga November lalu berbanding 23,608 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Selain itu, kes pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian terbesar berjumlah RM421 juta, diikuti jenayah e-dagang (RM382 juta), jenayah telekomunikasi (RM327.9 juta), jenayah e-kewangan (RM103.6 juta), ‘love scam’ (RM40.9 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM38.5 juta).

“Jumlah kerugian itu meningkat 33% dari Januari hingga November lalu berbanding RM771.1 juta dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya selepas melancarkan Karnival Scam Free Malaysia di Pavilion Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Karnival Scam Free itu dianjurkan Whoscall Malaysia dan JSJK Bukit Aman bagi membanteras jenayah komersial di Malaysia.

Whoscall merupakan aplikasi dibangunkan syarikat Gogolook yang membolehkan pengguna mengetahui identiti pemanggil.

Ramli berkata, sejak polis bekerjasama dengan syarikat itu Januari lalu, kadar panggilan dijawab menunjukkan penurunan sebanyak 50% daripada 66,810 kepada 34,996 panggilan.

“Kerugian yang dicatat dalam kes penipuan dalam talian ini bukan lagi ribuan ringgit, tetapi jutaan ringgit. Kami menasihatkan orang ramai bahawa proses pelaburan sebenar bukan mudah dengan menawarkan keuntungan tidak masuk akal, ibarat duit turun dari langit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.