Warga emas antara 9 banduan terlepas hukuman mati

Warga emas antara 9 banduan terlepas hukuman mati

Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman mati terhadap bekas pengawal keselamatan berusia 76 tahun itu dan menggantikannya dengan penjara seumur hidup selama 30 tahun.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap 9 banduan dan digantikan dengan penjara seumur hidup selama 30 tahun.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pengawal keselamatan berusia 76 tahun antara sembilan banduan yang dijatuhi hukuman mati terlepas daripada hukuman itu selepas hukuman tersebut digantikan kepada penjara seumur hidup selama 30 tahun oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan Jun Lam @ Chin See Kong mengikut Akta Semakan Hukuman mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Tengku Maimun mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Jun Lam dan menggantikannya dengan penjara seumur hidup selama 30 tahun. Beliau juga memerintahkannya menjalani hukuman itu mulai 3 Dis 2006, iaitu dari tarikh tangkapan.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi tidak membantah permohonan semakan itu.

Hakim lain yang turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais.

Jun Lam atau nama Islamnya Idris Chin Abdullah, telah dipenjarakan selama 17 tahun.

Pada 10 Okt 2008, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas mendapati dia bersalah mengedar ketamin seberat 1,558 gram di Pintu C11, Bangunan Satelit, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 3 Dis 2006.

Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 9 Jan 2012 dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan sama pada 20 Mac 2014. Dia diwakili peguam Abdul Rashid Ismail.

Sementara itu, lapan lagi banduan termasuk dua warga asing, hukuman mereka juga digantikan kepada hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun. Semua mereka diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amir Abdul Karim, P Sarulatha, Ng Siew Wee dan Tetralina tidak membantah permohonan itu.

Mereka ialah warganegara Ghana, Emmanuel Yaw Tieku, 60, warga Liberia, Nobies Weah Ezike, 52, Mohd Zaiham Mislan, 48, Mohamad Che Tam, 62, Faiz Khairudin, 53, Siew Yoke Keong, 56, Wong Hong, 68 dan Phung Geok Hoay, 70.

Mahkamah turut memerintahkan Zaiham disebat sebanyak 12 kali.

Semua mereka dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi berasingan atas kesalahan mengedar dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.