Halim Saad rujuk Mahkamah Persekutuan kembalikan saman Renong-UEM

Halim Saad rujuk Mahkamah Persekutuan kembalikan saman Renong-UEM

Sebelum ini Mahkamah Rayuan tolak rayuan ahli perniagaan itu dan kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi batal saman atas alasan ia telah luput tempoh.

(Dari kiri) Halim Saad mendakwa Dr Mahathir Mohamad dan Nor Mohamed Yakcop ‘secara paksa’ menyerahkan kawalan Renong dan UEM kepada kerajaan serta melupuskan saham Renong miliknya pada harga rugi.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan Halim Saad memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengembalikan semula samannya terhadap kerajaan, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, dan bekas menteri kewangan II, Nor Mohamed Yakcop.

Saman itu berkaitan kerugian didakwa dialami susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM) oleh kerajaan, pada 2001.

Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Halim dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman berkenaan atas alasan ia telah luput tempoh mengikut kedua-dua akta berkenaan.

Peguam Halim, A Surendra Ananth, mengesahkan kepada Bernama bahawa permohonan kebenaran itu difailkan di Mahkamah Persekutuan semalam.

Dalam notis usulnya, tokoh korporat berusia 72 tahun itu membangkitkan empat persoalan undang-undang untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada tuntutan terhadap kerajaan Malaysia berhubung pelanggaran mana-mana kebebasan asasi dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Akta Had Masa 1953 atau Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Saman itu, sebelum ini dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 9 Mei 2024 selepas membenarkan permohonan yang difailkan oleh Mahathir, Nor Mohamed, dan kerajaan.

Dalam penyataan tuntutannya, Halim yang juga bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong, mendakwa beliau bercadang untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkannya memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Namun, Halim mendakwa beliau diarahkan oleh Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan rancangan berkenaan kerana kerajaan mahu mengambil alih semua saham UEM melalui entiti yang ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak lain yang dinamakan Khazanah.

Beliau turut mendakwa diarahkan meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah, termasuk anak syarikat kedua-dua syarikat itu, sekali gus memaksanya menyerahkan kawalan Renong dan UEM kepada kerajaan serta melupuskan saham Renong miliknya pada harga rugi.

Halim mendakwa Khazanah memperoleh semua saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd, sekali gus mengambil alih kawalan ke atas UEM yang ketika itu memiliki 32.6% pegangan saham dalam Renong.

Beliau antara lain menuntut ganti rugi berhubung pengambilalihan paksa oleh kerajaan antara Julai hingga Oktober 2001 serta satu deklarasi bahawa beliau adalah pemegang saham Renong.

Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan itu menafikan mengambil alih pegangan saham terbabit kerana ia dipersetujui Halim sendiri dengan pampasan RM165 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.