
Parti pembangkang itu melalui peguam Chetan Jethwani & Co memfailkan permohonan kebenaran bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan bulan lalu yang menolak rayuan mereka.
Mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964, kebenaran hanya diberikan sekiranya wujud persoalan perlembagaan atau undang-undang baharu yang mempunyai kepentingan awam buat kali pertama.
Peguam Chetan Jethwani berkata pemohon – Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Setiausaha Kerja Bersatu Suhaimi Yahya – mengemukakan permohonan berasaskan lima persoalan undang-undang.
Antaranya, sama ada keputusan speaker Dewan Rakyat untuk menentukan kekosongan luar jangka di bawah Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan boleh disemak kehakiman, selaras Perkara 63(1) dan 72(1).
Parti itu juga mahu mahkamah tertinggi menentukan sama ada penggunaan perkataan “menentukan” dalam Perkara 49A(3) hanya memberi peranan pentadbiran kepada speaker.
“Kami telah memfailkan sijil keutamaan agar permohonan ini dapat didengar secepat mungkin,” kata Chetan kepada FMT.
Pada 5 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan speaker dalam surat bertarikh 16 Jan 2023 kebal daripada semakan kehakiman berdasarkan Perkara 63(1) Perlembagaan.
Hakim Ruzima Ghazali, yang mengetuai panel itu, berkata Mahkamah Tinggi tidak silap menolak permohonan Bersatu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.
Turut bersama dalam panel itu ialah Hakim Azizul Azmi Adnan dan Hakim Shahnaz Sulaiman.
Dalam penghakiman bertulis dua tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh berkata beliau terikat dengan keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan yang menetapkan bahawa keputusan speaker mengenai kewujudan kekosongan luar jangka tidak boleh dicabar di mahkamah.
Peruntukan itu menyatakan bahawa kesahihan prosiding Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Johari memutuskan tiada kekosongan di kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang.
Kerusi itu masing-masing dipegang oleh Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan, Jonathan Yasin dan Matbali Musah.
Bersatu mendakwa keputusan Johari tidak mengosongkan kerusi bekas wakil rakyat parti itu adalah ‘tercemar dengan unsur tidak sah’.
Keempat-empat Ahli Parlimen itu dipilih atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ahli terus pada PRU15 2022, ketika Bersatu masih bersama GRS.
Namun, GRS menggugurkan Bersatu sebagai anggota gabungan selepas PRU15.
Kiandee sebelum ini dilaporkan berkata parti itu telah mengeluarkan surat penamatan keahlian kepada empat Ahli Parlimen terbabit pada 21 Dis 2022.
Beliau berkata tindakan itu diambil kerana mereka telah ‘menyeberang’ ke blok kerajaan ketika sidang Dewan Rakyat pada 19 Dis 2022.
Kiandee mendakwa tindakan itu telah mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan, yang memperuntukkan Ahli Parlimen akan hilang kerusi jika berpindah parti, kecuali jika mereka dipecat oleh parti atau jika parti itu dibubarkan atau dibatalkan pendaftarannya.
Bersatu sebelum ini mahu Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Johari dan memerintahkannya mengisytiharkan empat kerusi tersebut kosong.