
Empat individu itu ialah K Datchinamurthy, P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.
Suhakam menegaskan pendiriannya menolak hukuman mati, dengan menyatakan bahawa ia yakin kepada keadilan, maruah, serta pemulihan bagi semua pesalah.
Walaupun Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) membenarkan hukuman mati bagi jenayah berat, Suhakam berkata Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB secara konsisten memutuskan bahawa kesalahan berkaitan dadah tidak termasuk dalam kategori itu.
“Oleh itu, Suhakam menggesa kerajaan mengambil semua langkah diplomatik dan perundangan yang mungkin untuk melindungi hak dan nyawa warga Malaysia yang berdepan hukuman mati di luar negara.
“Libatkan mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan serantau bagi memastikan kes mereka diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Suruhanjaya itu turut menggesa Putrajaya mengetuai usaha dalam memperjuangkan pemansuhan hukuman mati di peringkat serantau dan antarabangsa.
Minggu lalu, rayuan Pannir untuk penangguhan hukuman mati sementara menunggu prosiding tatatertib susulan aduan terhadap bekas peguamnya kepada Law Society ditolak Mahkamah Rayuan Singapura.
Dia disabitkan dengan kesalahan mengedar heroin dan dijatuhi hukuman mati pada Mei 2017.
Datchinamurthy, yang dijatuhi hukuman mati pada 2015 kerana menyeludup diamorfin, dijadualkan menjalani hukuman pada 2022 tetapi mendapat penangguhan sementara menunggu saman undang-undangnya terhadap kerajaan Singapura berhubung hukuman mati itu.
Saminathan dan Lingkesvaran pula secara berasingan dijatuhi hukuman mati pada 2018 kerana mengedar diamorfin.