
Dalam kenyataannya, Biro Narkotik Pusat Singapura mengesahkan pelaksanaan hukuman itu, menyatakan bahawa Datchinamurthy ‘telah melalui proses undang-undang yang lengkap serta diwakili peguam sepanjang perbicaraan dan rayuannya’.
Menurut biro itu, rayuan rakyat Malaysia itu kepada presiden Singapura tidak berjaya.
“Hukuman mati hanya dijatuhkan bagi jenayah-jenayah paling berat, contohnya mengedar dadah dalam jumlah besar yang membawa padah amat buruk, bukan hanya kepada penagih, malah kepada keluarga dan seluruh masyarakat,” kata biro itu.
Pelaksanaan hukuman mati Datchinamurthy pada mulanya dijadualkan pagi ini tetapi ditangguhkan, tanpa sebabnya didedahkan. Keluarganya dimaklumkan mengenai perkara itu melalui panggilan dari penjara Changi selepas tengah malam tadi.
Aktivis Singapura Kokila Annamalai berkata, pihak penjara menghubungi keluarga Datchinamurthy kira-kira 1.40 petang tadi untuk memaklumkan bahawa rayuan lelaki itu telah ditolak oleh presiden dan hukuman gantungnya akan diteruskan.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, keluarga Datchinamurthy diminta menuntut mayatnya pada 3 petang tetapi waktu hukuman gantung dijalankan tidak dimaklumkan.
“Pihak keluarga berulang kali merayu untuk melawat atau menelefon (Datchinamurthy) buat kali terakhir, dan apabila permintaan itu ditolak, mereka bertanya jika mereka boleh menyampaikan pesanan kepada Datchinamurthy melalui pegawai penjara yang membuat panggilan itu. Permintaan itu turut ditolak.
“Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa menghinakan, kejam dan keterlaluan layanan ini, dengan maruah dan kewarasan keluarga dipermainkan secara sadis,” kata Kokila.
Datchinamurthy ditahan pada 2011 dan dijatuhi hukuman mati pada 2015. Dia dijadualkan menjalani hukuman mati pada 2022 tetapi ditangguhkan sementara menunggu saman sivil terhadap kerajaan Singapura berhubung hukuman mati ke atasnya.
Dia salah seorang daripada empat banduan akhir rakyat Malaysia di Singapura. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebelum ini menggesa kerajaan agar campur tangan dalam pelaksanaan hukuman mereka.
Tiga banduan akhir lain terdiri daripada P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.