
Muhammad Islahuddin Abas berkata Muhyiddin boleh memainkan peranan lain sekiranya tetap dengan pendiriannya enggan mempertahankan jawatan sebagai presiden pada pemilihan tahun depan.
“Kami mencadangkan supaya diwujudkan kembali jawatan pengerusi Bersatu secara berperlembagaan.
“Pengalaman dan kemampuannya diperlukan untuk memperkukuhkan Bersatu bersama pimpinan, beliau banyak jasa dan pemimpin hebat yang banyak lahir pemimpin pelapis,” kata ketua penerangan Bersatu Johor pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
Terdahulu Muhyiddin membuat kejutan dengan mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun depan.
Jawatan pengerusi Bersatu sebelum ini disandang Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun pada 24 Feb 2020, Mahathir meletak jawatan susulan langkah Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.