Lahir sebesar 2 tapak tangan, kini Laila membesar jadi ‘anak aktif’

Lahir sebesar 2 tapak tangan, kini Laila membesar jadi ‘anak aktif’

Siti Hajar Mohd Salleh diberitahu anaknya adalah bayi paling kecil dan ringan dirawat di NICU, 10 tahun lalu.

Laila Zinnirah Mohd Khairul Anwar yang kini berusia 10 tahun aktif menyertai seni mempertahankan diri silat bersama rakan sebaya.
KLANG:
Siti Hajar Mohd Salleh, 39, kadang-kala terlupa dia telah melahirkan bayi pramatang sebesar hanya dua tapak tangan orang dewasa dengan berat 700 gram, 10 tahun lalu.

Waktu itu, kandungannya baru sahaja mencecah usia 23 minggu namun Siti Hajar ditakdirkan melahirkan bayi perempuan yang prosesnya berjalan dengan mudah.

“Bila jururawat pegang bayi itu dia terbalikkan dan anak berbunyi ‘ek’ sedikit sahaja. Tapi masa saya dengar bunyi bayi itu, rasa lega.

“Masa itu saya yakin anak saya akan hidup,” katanya kepada FMT yang berkongsi kisahnya sempena Hari Pramatang Sedunia disambut 17 Nov setiap tahun.

Laila Zinnirah Mohd Khairul Anwar yang dilahirkan pramatang sebesar dua tapak tangan dewasa dengan berat 700 gram.

Siti Hajar diberitahu anaknya yang bernama Laila Zinnirah Mohd Khairul Anwar adalah bayi paling kecil dan ringan dirawat dalam inkubator di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) ketika itu.

Walaupun dalam tempoh berpantang, Siti Hajar ditemani suaminya, Mohd Khairul Anwar Ishak, 42, berulang-alik ke Hospital Sungai Buloh dari Klang, setiap hari, selama tiga bulan untuk menjenguk bayinya.

“Kadang-kala saya minta kebenaran doktor buat ‘Kangaroo Care’ dengan anak saya. Maknanya sentuhan kulit ke kulit. Saya letak dia atas dada saya…boleh nampak degupan jantung stabil sekitar bacaan 98 atau 99, biasanya 65 atau 66,” katanya.

Siti Hajar Mohd Salleh.

Ibu kepada tujuh orang anak itu turut menceritakan detik cemas Laila tersedak susu dan kebetulan kejadian itu berlaku ketika mereka berada di hospital.

“Dia tersedak sedikit sahaja tapi dia diam selepas itu. Saya angkat tangan dia, tapi ia jatuh terkulai. Laila makin biru. Saya panggil jururawat, dia tepuk-tepuk kaki anak tapi tiada respon.

“Waktu itu air mata saya sudah berjurai-jurai tengok doktor dan jururawat mengelilingi Laila, untuk buat bantuan pernafasan,” ceritanya sebak.

Laila kini membesar menjadi kanak-kanak yang aktif dan lincah, menyebabkan Siti Hajar kerap terlupa, anaknya itu dilahirkan pramatang.

“Saya percaya menjadi ibu bapa perlu ilmu, apatah lagi nak jaga bayi pramatang…kena tahu juga jaga perasaan kita kerana ada masanya sedih dan perlu bangun semula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.