Mayat tepi landasan KTM dipercayai dicampak dari jambatan

Mayat tepi landasan KTM dipercayai dicampak dari jambatan

Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih empat hari berdasarkan keadaannya yang reput, kata ketua polis Hulu Selangor.

Ibrahim bin Husin
Ketua Polis Hulu Selangor Ibrahim Husin berkata, mayat yang ditemukan di tepi landasan KTM Kampung Sungai Serian, Kalumpang, hari ini dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mayat seorang lelaki yang dilaporkan ditemukan dengan kaki dan tangannya terikat di tepi landasan KTM Kampung Sungai Serian, Kalumpang, hari ini dipercayai dicampak dari Jambatan Kampung Sungai Serian setinggi 11.15m.

Ketua Polis Hulu Selangor Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira 10.30 pagi tadi, sebelum pasukan polis dan forensik ditugaskan ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan pihak forensik mendapati kaki serta tangan lelaki itu diikat, selain kepalanya dibalut dengan kain dan dilekatkan pita pelekat hitam serta putih,” katanya, lapor Berita Harian.

Ibrahim berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih empat hari berdasarkan keadaan mayat yang reput.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat, tambahnya.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Fadli Abdul Aziz melalui talian 03-60641222 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.