Keluarga terkejut mayat hampir disemadi bukan anak, masih hidup di penjara

Keluarga terkejut mayat hampir disemadi bukan anak, masih hidup di penjara

Keluarga itu dilaporkan telah berbelanja RM20,000 untuk menempah khemah, makanan dan kos krematorium bagi menyemadikan anak mereka.

Keluarga mahu pihak berkuasa beri penjelasan, benarkan temui anak untuk sahkannya masih hidup
PETALING JAYA:
Sebuah keluarga di Tampin terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan mayat hendak disemadikan pada pagi tadi bukan ahli keluarga mereka yang dilaporkan meninggal dunia di Penjara Sungai Buloh.

Menurut Berita Harian, waris dari Taman Desa Permai hampir membakar mayat terbabit sebelum dihubungi pihak berkuasa penjara jam 10 pagi yang
memaklumkan anak mereka masih hidup dan berada dalam tahanan.

Bapa tahanan itu yang dikenali Chantren, 45, berkata pada Khamis mereka dihubungi supaya menuntut mayat anak lelakinya di Hospital Sungai Buloh, namun beliau mendakwa tidak dibenarkan melihatnya apabila ke hospital berkenaan pada keesokan hari.

Dakwanya, mereka hanya dibenarkan berbuat demikian semalam sebelum membawanya pulang untuk pengebumian, namun tidak dapat mengesahkan wajahnya kerana telah dibedah siasat dan kepalanya sudah botak.

Menurutnya, ketika hendak menyempurnakan ucapara terakhir iaitu membakar mayat, mereka menerima panggilan daripada Jabatan Penjara pada jam 10 pagi tadi memaklumkan bahawa ia bukan anak mereka.

Chantren memaklumkan keluarganya sangat keliru dengan kejadian yang berlaku sangat pantas itu, bermula dengan berita anaknya ditahan pada 28 Feb lalu, meninggal dunia dan kemudiannya ‘hidup kembali’.

“Malah kami berhabis wang kira-kira RM20,000 untuk tempah khemah, makanan dan kos krematorium,” katanya.

Difahamkan anak kepada Chantren yang bekerja di Selangor ditahan bersama lelaki yang meninggal dunia itu.

Sementara itu, ibu tahanan, Parameiswary, 48, berkata mereka telah membuat laporan polis di Jinjang, Kuala Lumpur berhubung kejadian itu dan mahu pihak berkuasa memberi penjelasan secara hitam putih.

“Kami tidak mahu lisan saja, kami juga mahu jumpa dengan anak untuk sahkan dia masih hidup. Ini bukan perkara main-main, ia mengenai hidup dan mati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.