
Dalam keadaan teruja, wanita berusia 29 tahun itu cuba melangkah beberapa tapak, namun terpaksa berhenti seketika untuk melepaskan lelah.
Bapa angkatnya, Dominic Damian, bergegas membawakan kerusi roda dan menyorongnya ke klinik penyakit berjangkit untuk pesakit HIV di Hospital Sungai Buloh.
“Saya lega. Sekurang-kurangnya dia dapat rawatan selepas lapan tahun, sebelum keadaannya jadi lebih teruk,” kata Damian kepada FMT.
Semalam, FMT mengetengahkan kisah Amanda, yang ditinggalkan ketika masih bayi, menghidap HIV sejak lahir. Rawatannya dihentikan serta-merta pada 2017 atas alasan beliau bukan warganegara Malaysia.
Susulan laporan itu, Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia pada hari sama tampil menghulurkan bantuan, yang menurut Damian tidak mungkin berlaku tanpa liputan pihak media.
“Ia tidak mungkin berlaku tanpa FMT, yang membuka jalan (untuk Amanda). Ia benar-benar beri sinar dalam kegelapan, mendedahkan kelemahan dalam sistem,” katanya.
Tanpa ubat-ubatan, kesihatan Amanda kian merosot dari hari ke hari, dan ada kalanya Damian bimbang setiap malam mungkin jadi malam terakhirnya.
Menurutnya, Amanda akan dimasukkan ke wad hari ini untuk menjalani imbasan sebagai prosedur awal sebelum doktor menentukan pelan rawatan yang bersesuaian.
Katanya, kes Amanda menunjukkan betapa terpinggirnya kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia, dengan Amanda sendiri tidak dibenarkan mendapatkan rawatan rutin walaupun telah menetap di negara ini seumur hidupnya.
“(Amanda) bukan warganegara kerana walaupun ada sijil lahir, tetapi latar belakang ibu bapanya tidak diketahui. Inilah malangnya nasib yang menimpa mana-mana anak yang ditinggalkan, yang warisnya tak dapat dikesan,” katanya.
Damian juga berkata, beliau tidak dapat melengkapkan proses rasmi mengambil Amanda sebagai anak angkat tanpa dokumen yang betul.
“Kami tiada sijil pengesahan atau sijil kelahiran yang lengkap. Jadi, keadaannya agak rumit. Terdapat beberapa cabaran prosedur lain yang perlu diatasi,” jelasnya.
Justeru, katanya, beliau tetap berwaspada dalam pada menaruh harapan agar rawatan yang akan diterima Amanda bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya ‘rawatan sepanjang hayat’.
Damian berkata, beliau sangat terharu dengan sokongan mencurah-curah daripada rakyat Malaysia berbilang kaum.
“Saya bersyukur. Selain Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia, terlalu ramai orang, termasuk ahli gereja, kanak-kanak, malah insan tidak dikenali, tampil,” kata guru muzik itu.
“Bekas anak murid saya pun datang tawar pertolongan dengan murah hati, bertanya apa yang boleh mereka lakukan (untuk bantu). Itu sangat penting, menunjukkan semangat dan wajah sebenar rakyat Malaysia.