
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, pemandu dan penumpang Nissan Almera, Mohd Rahmat Ab Rahim, 34, dan Muhammad Amirul Mukmini Mat Daud, 31, yang cedera di bahagian kepala maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki mangsa dari arah Kuantan menghala Johor Bahru, sedang berhenti untuk memasuki simpang di kanan jalan, sebelum dirempuh sebuah lori Nissan dari arah belakang.
“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lori pembancuh simen dari arah Johor Bahru ke Kuantan, mengakibatkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu lori itu hanya luka di bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.