
Wan Azliana Wan Adnan berkata langkah itu dapat mengelakkan guru memikul tambahan tugas, yang segelintir menjalankannya dengan motivasi kurang kerana bayaran tidak setimpal.
Beliau yang juga mewakili keluarga mangsa buli selaku peguam berkata antara dapatan Mahkamah Tinggi dalam satu kes buli membabitkan seorang murid sekolah menengah di Terengganu, lapan tahun lalu berkait beban guru sebagai warden.
Katanya kepada FMT, sebilangan warden “adalah cikgu yang mengajar pagi atau petang manakala malam pula sebagai warden… tanggungjawab besar namun difahamkan imbuhan atau gaji tak setimpal.”

Beliau berkata dapatan mahkamah itu membuka mata mengenai tanggungjawab berat seorang warden.
“Sekarang masanya kementerian kaji semula dan membuat penambahbaikan di peringkat sekolah dan hukuman,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Azliana berkata NGO kendaliannya, iaitu Pertubuhan Aspirasi Wanita (Aswa), bekerjasama dengan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menyediakan suatu draf bagi menggubal akta anti buli, sejak Januari lalu.
“Akta itu bila siap nanti bukan hanya hukuman tetapi pengajaran serta perlindungan kepada mangsa buli,” kata Azlina yang menjangkakan draf itu siap dalam tempoh dua tahun.
Wan Azliana berharap akta itu dapat menambah gerun kepada pembuli dan mengelakkan masalah berkenaan terus menjadi barah, berdasarkan statistik terkini KPM.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata sebanyak 9,207 kes buli direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun bermula 2021 hingga Okt 2023.
Katanya, sebanyak 4,994 kes buli direkod setakat Okt 2023, 3,887 kes pada (2022) dan 326 kes (2021).