Tiada cadangan pinda Perlembagaan wajib rakyat undi, kata Azalina

Tiada cadangan pinda Perlembagaan wajib rakyat undi, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata, ia selaras Malaysia negara demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat keluar mengundi.

Azalina Othman Said berkata kerajaan mengambil pendekatan pendidikan dan kesedaran sivik untuk menarik warganegara menunaikan tanggungjawab keluar mengundi.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mewajibkan rakyat mengundi, kata Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.

Katanya, ia selaras Malaysia negara demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat keluar mengundi.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, hak kebebasan diuntukkan kepada setiap warganegara Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam pilihan raya.

“Berlandaskan prinsip tersebut, kerajaan buat masa ini tidak bercadang mewajibkan setiap warganegara Malaysia mengundi,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan berhasrat meminda Perlembagaan bagi mewajibkan pemilih berdaftar untuk mengundi.

Azalina berkata, kerajaan bagaimanapun akan mengambil pendekatan dari segi pendidikan dan kesedaran sivik bagi memupuk semangat warganegara menunaikan tanggungjawab keluar mengundi demi kepentingan dan kestabilan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.