Jauh beza dengan Sulu, Kedah tuntut P Pinang ikut perlembagaan, kata Sanusi

Jauh beza dengan Sulu, Kedah tuntut P Pinang ikut perlembagaan, kata Sanusi

Menteri besar Kedah itu berkata tuntutan tersebut juga tidak sama dari segi kedaulatan kerana kesultanan Kedah masih wujud.

Sanusi Nor
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata tuntutan negeri itu ke atas Pulau Pinang adalah dalam rangka perlembagaan dan tidak melanggar undang-undang sedia ada.
PETALING JAYA:
Tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan kegagalan waris Sulu dalam tuntutan terhadap Sabah, kata Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.

Sanusi berkata kedua-dua tuntutan tersebut juga tidak sama dari segi kedaulatan kerana kesultanan Kedah masih wujud hingga kini berbeza dengan kesultanan Sulu yang sudah lama berakhir.

“Kita akan pergi secara perlembagaan, dalam kerangka perlembagaan bukan diluar perlembagaan. Kita akan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, tidak akan langgar apa-apa.

“(Isu) Sulu itu bukan dalam Malaysia, Sulu sultan pun tak ada dah, kita (Kedah) ada lagi, jauh beza, tidak sama,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.

Beliau menjawab kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Dewan Rakyat pada Selasa lalu bahawa kegagalan waris Sulu membuat tuntutan terhadap Sabah membuktikan naratif sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan berperlembagaan.

Mengaitkannya dengan tuntutan Kedah, Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata pendirian undang-undang kerajaan Malaysia yang konsisten dalam isu Sabah telah menetapkan rujukan yang jelas: kedaulatan sesebuah negeri ditentukan Perlembagaan Persekutuan, bukannya perjanjian pra-merdeka atau sejarah silam.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata pembentangan akhir berkaitan tuntutan berkenaan sudah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan dokumen lengkap pasukan peguam dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

Katanya, sekiranya wujud isu dan kes itu perlu dibawa ke hadapan, ia wajar ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.

Sanusi sebelum ini menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah, dengan merujuk kepada pajakan pada 1791 kepada British.

Kerajaan Pulau Pinang pula menegaskan bahawa wilayah berkenaan telah diserahkan secara berkesan selepas kemerdekaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.