5 ditahan gaduh bersenjata, sebabkan kematian warga emas

5 ditahan gaduh bersenjata, sebabkan kematian warga emas

Polis berkata pergaduhan bersenjata itu bermula dengan aksi mengejar sehingga kenderaan dinaiki satu kumpulan terbabit melanggar sebuah motosikal.

Polis berkata dua kumpulan lelaki bergaduh menggunakan dua bilah kwantao, iaitu senjata tradisional Cina berbentuk seperti tombak.
SIBU:
Lima lelaki ditahan kerana terbabit pergaduhan berkumpulan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal warga emas di sini, semalam.

Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, berkata pergaduhan bersenjata di Lorong Wong King Hou bermula dengan aksi mengejar sehingga kenderaan dinaiki satu kumpulan terbabit melanggar sebuah motosikal di Jalan Alan.

Beliau berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat orang awam pada 6.45 petang.

“Sampai di tempat kejadian, polis mendapati dua kumpulan lelaki sedang bergaduh menggunakan dua bilah kwantao, iaitu sejenis senjata tradisional Cina berbentuk seperti tombak.

“Polis menahan lima lelaki berusia 17 hingga 30 tahun, selain merampas dua kenderaan serta dua bilah senjata digunakan dan sebatang rotan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada masalah hutang, manakala ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin, benzodiazepines dan morfin.

Katanya, semua suspek direman tiga hari hingga 27 Okt bagi membantu siasatan bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kemalangan serta kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.