‘JKR siasat JKR’, wakil kerajaan dakwa laporan tragedi Batang Kali ‘cover-up’

‘JKR siasat JKR’, wakil kerajaan dakwa laporan tragedi Batang Kali ‘cover-up’

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mendakwa laporan insiden 16 Dis tahun lalu itu tidak profesional dan tidak neutral, merujuk siasatan melibatkan JKR.

Laporan forensik tragedi itu didedahkan kepada umum 18 Dis lalu yang menyatakan berlaku dua kejadian runtuhan di tapak perkhemahan dalam selang 20 minit pada hari kejadian yang meragut 31 nyawa.
KUALA LUMPUR:
Seorang wakil kerajaan mempersoalkan kredibiliti laporan forensik insiden tanah runtuh Batang Kali, yang dikeluarkan baru-baru ini, dengan mendakwa terdapat konflik kepentingan ketika siasatan dijalankan.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) mendakwa, laporan insiden pada 16 Dis tahun lalu itu tidak profesional dan tidak neutral, merujuk siasatan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Dalam laporan forensik itu…JKR siasat JKR, lepas tu JKR lepaskan JKR. Saya anggap laporan itu tidak profesional, tidak neutral. Ini jelas terdapat konflik kepentingan,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan usul Belanjawan 2024.

“Ada kemungkinan laporan itu sebagai satu ‘cover-up’,” katanya.

Lim merujuk dakwaan NGO Victims Malaysia, bahawa lereng bukit di kawasan tanah runtuh telah berlaku aktiviti manusia sebelum ini oleh JKR ketika membina jalan Batang Kali, serta aktiviti pembersihan tanah berhampiran lokasi tanah runtuh, berdasarkan imej satelit.

Namun, katanya, perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan penuh dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Laporan forensik tragedi itu didedahkan kepada umum pada 18 Dis. Ia menyebut, berlaku dua kejadian runtuhan di tapak perkhemahan dalam selang 20 minit pada awal pagi hari kejadian, yang meragut 31 nyawa.

Tahun lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mendedahkan tiga tapak perkhemahan itu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi.

Beliau juga mengesahkan pengendali hanya dibenarkan menjalankan ladang organik di tapak itu tetapi tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk membina tapak perkhemahan.

Mengulas lanjut, Lim menggesa satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan agar tragedi berkenaan disiasat dengan terperinci, bagi memberi keadilan kepada mangsa dan waris yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.