Hormati MA63 juga satu bentuk keadilan, senator beritahu bekas pegawai SPR

Hormati MA63 juga satu bentuk keadilan, senator beritahu bekas pegawai SPR

Nelson W Angang berkata tujuan Sabah dan Sarawak diberi satu pertiga kerusi di Parlimen adalah untuk lindungi hak dan keistimewaan negeri itu.

Senator Nelson W Angang mengingatkan bekas pegawai SPR Wan Ahmad Wan Omar bahawa hujah mengenai jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya mesti ‘lebih kurang sama’ bercanggah dengan realiti semasa di Semenanjung Malaysia.
PETALING JAYA:
Seorang senator dari Sabah mengkritik bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berpendapat pengagihan kerusi Parlimen antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seharusnya berasaskan prinsip keadilan dan bukannya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Nelson W Angang berkata MA63 adalah asas kepada pembentukan Malaysia, justeru pemberian satu pertiga kerusi Dewan Rakyat kepada Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu bertujuan untuk melindungi hak dan keistimewaan negeri berkenaan.

Katanya, ini bagi memastikan Tanah Melayu tidak boleh meminda perlembagaan tanpa persetujuan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Bekas timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar berkata pengagihan kerusi Parlimen sepatutnya berdasarkan keadilan, namun, Angang menegaskan bahawa memenuhi MA63 sebenarnya adalah satu bentuk keadilan.

“Perlembagaan kita dipinda pada 1965 berkaitan dengan bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu apabila Singapura meninggalkan Malaysia.

“Akibatnya bilangan kerusi parlimen yang dahulunya milik Singapura diberikan kepada Tanah Melayu tanpa mengambil kira hasrat dan niat asal mengapa ia diagihkan sedemikian pada mulanya ketika Malaysia ditubuhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Ahmad bersetuju Sabah dan Sarawak mungkin berhak mendapat lebih banyak perwakilan bawah MA63, tetapi menolak cadangan menambah jumlah kerusi mereka sehingga satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Menurutnya, Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan menetapkan empat prinsip utama yang menjadi panduan SPR dalam mana-mana latihan persempadanan semula, dengan faktor demografi – saiz populasi dan jumlah pengundi – menjadi pertimbangan utama.

Memetik Seksyen 2(c) jadual itu, katanya, jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya mestilah ‘lebih kurang sama’ dan SPR hanya dibenar menggunakan budi bicaranya untuk hanya mengambil kira faktor seperti keluasan dan bentuk muka bumi sesebuah kawasan.

Bagaimanapun, Angang yang juga setiausaha agung Upko berkata hujah itu bercanggah dengan realiti semasa di kawasan bandar di Semenanjung Malaysia.

Beliau memberi contoh kerusi Parlimen Bangi di Selangor yang mempunyai 311,499 pengundi pada 2023, manakala kerusi Lenggong dan Padang Rengas di Perak masing-masing hanya mempunyai 36,950 dan 38,686 pengundi pada tahun yang sama.

“Saya tidak dapat melihat ini sebagai ‘lebih kurang sama’ dalam mana-mana definisi. Terdapat banyak lagi kerusi parlimen yang sangat tidak seimbang,” katanya.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof memaklumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Namun, Fadillah berkata isu perundangan yang timbul akibat ‘pandangan berbeza’ antara peguam negara persekutuan, Sabah dan Sarawak perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.