Kerajaan kaji perluas skop RUU Tribunal Antibuli kepada semua peringkat umur

Kerajaan kaji perluas skop RUU Tribunal Antibuli kepada semua peringkat umur

Menteri Undang-undang Azalina Othman Said berkata, cadangan itu hasil maklum balas berapa sesi dialog awam dan portal PetaRI.

Azalina Othman
Azalina Othman Said berkata, mekanisme tribunal beri ruang penyelesaian aduan lebih pantas, serta meningkatkan kesedaran masyarakat. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Kerajaan sedang meneliti cadangan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli diperluas kepada semua peringkat umur, bukan hanya fokus pada golongan bawah 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, perkara itu timbul hasil maklum balas yang diterima daripada beberapa sesi dialog awam antibuli dan portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI).

Beliau berkata, majoriti menggesa agar skop RUU itu lebih terbuka memandangkan kes buli bukan sahaja berlaku di sekolah, tetapi turut dilaporkan di institusi pengajian tinggi, maktab polis dan tentera.

“Jika dibuka kepada semua peringkat umur, ia tidak hanya melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) tetapi juga yang lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), institusi pengajian awam dan swasta malah maktab tentera serta polis kerana elemen buli turut berlaku di situ.

“Setakat ini, memang banyak respons yang mahu melihat ia lebih terbuka … tidak hanya tertumpu kepada golongan bawah 18 tahun … tetapi perkara itu masih dalam kajian,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Awam Antibuli Peringkat Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, RUU yang sedang dirangka oleh kerajaan itu diharap dapat mengurangkan kes buli di Malaysia.

Mengambil contoh Tribunal Gangguan Seksual, beliau berkata, mekanisme tribunal memberi ruang penyelesaian aduan yang lebih pantas sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengurangkan jumlah laporan kes.

“Dengan adanya tribunal ini, pelaku akan berfikir banyak kali sebelum bertindak kerana mereka tahu sistem itu laju … kemungkinan (kes) akan berkurangan, insyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina turut menggalakkan orang ramai yang tidak dapat menghadiri sesi dialog awam untuk berkongsi pandangan secara dalam talian melalui portal PetaRI, yang menyediakan ruangan komen, kritikan dan cadangan untuk memperkukuh draf RUU tersebut.

Sebelum ini, beliau berkata, RUU Tribunal Antibuli dijangka dibentang di Parlimen pada Oktober selepas selesai sesi penerangan atau jelajah serta mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Azalina berkata, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dijangka selesai bulan ini sebelum kertas cadangan dimajukan kepada Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.